KABONG, 7 November 2017- Seramai 7 orang pegawai Politeknik Kuching Sarawak (PKS) telah mengadakan lawatan dan perbincangan rasmi bertujuan pelaksanaan aktiviti khidmat sosial di bawah Program Touch Point bagi Cabinet Away Day 2017 di kawasan Parlimen Saratok, Sarawak yang akan melibatkan pasukan YES! Sukarelawan Politeknik dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Kabong yang terletak kira-kira 350km dari Bandaraya Kuching, merupakan salah sebuah daerah di Parlimen Saratok dipilih untuk lokasi pertama dan perbincangan berlangsung di hadapan dan bersama-sama En. Kamaludin bin Alkap, Pegawai Daerah, Pejabat Daerah Kabong, Sarawak dan En.Senen bin Wang Pembantu ADUN N40 Kabong di Pejabat Daerah Kabong dan di Pusat komuniti ADUN N40, Kabong.

Program yang akan dilaksanakan oleh Politeknik Kuching Sarawak (PKS), di bawah kelolaan Bahagian Pembangunan Pelajar, Jabatan Pendidikan Politeknik (JPP), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) ini memberi fokus kepada meningkatkan impak sosial melalui perkongsian pengalaman dan kepakaran pelajar politeknik dalam bidang TVET kepada isi rumah yang terlibat dan keberhasilan yang disasarkan adalah peningkatan kepada kualiti golongan sasar.

Program dijadualkan berlangsung pada 23 hingga 26 November 2017 ini memberi tumpuan kepada kerja-kerja penyelenggaraan dan pendawaian semula elektrik 12 buah rumah kediaman terpilih serta perkongsian ilmu berhubung keselamatan elektrik yang akan dilakukan oleh para pelajar dengan pemantauan dan bantuan daripada para pensyarah Kejuruteraan Elektrik & Elektronik, Jabatan Kejuruteraan Elektrik, PKS dan Kejuruteraan Perkhidmatan Bangunan, Jabatan Kejuruteraan Awam, PKS.

Program ini akan memberi manfaat bukan sahaja kepada komuniti setempat, malah memberi peluang kepada politeknik melahirkan pelajar yang holistik, seimbang dan berkualiti apabila para pelajar dapat memainkan peranan dan mengambil peluang mempraktis segala kemahiran TVET dan insaniah di lapangan sebenar sambil memberi sumbangan serta sekaligus menzahirkan bahawa politeknik yang merupakan sebuah institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) prihatin terhadap keperluan dan kesejahteraan rakyat.

 

* Sila rujuk facebook rasmi Politeknik Kuching Sarawak untuk maklumat lebih lanjut.