KABONG, 26 November 2017 - YB Tan Sri William Mawan Ak. Ikom, Ahli Parlimen P.205 Saratok telah menyempurnakan majlis pelancaran dan penutupan Program Touch Point Cabinet Away Day 2017 tersebut pagi ini di Pantai Tanjung Kembang, Kabong, Sarawak. Turut bersama-sama adalah YB Encik Mohd Chee Bin Kadir, ADUN N.40 Kabong dan Lt. Kol. Bersekutu (PA) Kamaludin bin Daud, Pengarah Politeknik Kuching Sarawak dan Tuan Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kemajuan Negeri Sarawak mewakili ICU, Jabatan Perdana Menteri.

Dalam ucapan YB Tan Sri menyatakan bahawa para ibu bapa dan belia perlu menjadikan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) sebagai pilihan pertama bagi mencapai hasrat YAB Ketua Menteri Sarawak mentransformasikan negeri Sarawak ke arah Ekonomi Digital. Beliau turut percaya dan yakin bahawa Politeknik merupakan sebuah institusi TVET yang dapat melahirkan tenaga mahir yang berkaitan seperti kejuruteraan, teknologi maklumat dan perdagangan dan YB Tan Sri menasihatkan agar semua pihak peka dan mempersiapkan diri dengan perkembangan keperluan tenaga kerja semasa dan industri.

Politeknik Kuching Sarawak (PKS) yang telah berjaya melaksanakan aktiviti khidmat sosial penyelenggaraan dan pendawaian semula elektrik 12 buah rumah kediaman terpilih serta perkongsian ilmu berhubung keselamatan elektrik di bawah Program Touch Point bagi Cabinet Away Day 2017 di Daerah Kabong bermula 23 - 26 November 2017 membuktikan bahawa pelajar PKS kompeten dan pendidikan di politeknik memenuhi piawaian standard dan keperluan industri.

Diakhir ucapan, YB Tan Sri William Mawan merakamkan terima kasih dan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), Politeknik Kuching Sarawak dan semua agensi yang terlibat seperti DUN Kabong, Pejabat Daerah Kabong, RTM, Sarawak.fm dalam menjayakan program yang dapat meringankan beban rakyat.

 

* Sila rujuk facebook rasmi Politeknik Kuching Sarawak untuk maklumat lebih lanjut.