28 JUN 2018 – Seramai 1068 orang pelajar baharu ambilan Sesi Jun 2018 telah mendaftar sebagai pelajar di Politeknik Kuching Sarawak (PKS) sehingga hari ini bermula hari pendaftaran pada 24 Jun 2018 yang lalu. Pengarah Politeknik Kuching Sarawak, Lt. Kdr (K) Kamaludin DaudPSSTLDM memaklumkannya dalam Majlis Penutupan Minggu Suai Kenal (MSK) di Dewan Jubli Perak, PKS pada pagi tadi.

Tambah beliau, bilangan tersebut telah melebihi dari norma pengambilan yang ditetapkan oleh Jabatan Pendidikan Politeknik & Kolej Komuniti (JPPKK) iaitu seramai 1040 orang bagi semua 13 program pengajian peringkat diploma di PKS iaitu Diploma Kejuruteraan Awam, Diploma Kejuruteraan Perkhidmatan Bangunan, Diploma Geomatik, Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Automotif), Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pembuatan), Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Penyamanan Udara dan Penyejukbekuan), Diploma Kejuruteraan Elektrik & Elektronik, Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komunikasi), Diploma Kejuruteraan Proses (Petrokimia), Diploma Akauntansi, Diploma Pengajian Perniagaan, Diploma Teknologi Maklumat (Teknologi Digital). Jumlah tersebut belum termasuk satu lagi Program Pra Diploma Perdagangan yang akan melapor diri pada 2 Julai 2018 nanti.

Dalam majlis tersebut, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Politeknik Kuching Sarawak Saudara Muhammad Amirnurdin Alisty telah memulakan ucapan alu-aluan dan semua pelajar baharu telah melafazkan ikrar sebagai pelajar politeknik pada majlis tersebut.

Ucapan penghargaan, terima kasih, tahniah dan syabas turut dirakamkan oleh Pengarah PKS kepada semua pelajar kerana memilih Politeknik dan PKS sebagai destinasi pengajian selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) iaitu seramai 1030 orang dan seramai 38 orang adalah daripada lulusan sijil kemahiran antaranya dari lulusan sijil kolej komuniti, Institut Kemahiran Malaysia (IKM) dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Beliau turut menekankan 3 elemen penting dalam menuju kecemerlangan iaitu pengetahuan, kemahiran dan sikap sebelum mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Pengarah Program MSK, Cik Jenniecia Anak Allay yang juga merupakan Pegawai Hal Ehwal Pelajar (Kebajikan & Disiplin), Encik Abdullah Latep Bin Hj. Mustapha, Pegawai Pengambilan dan Encik Khairul Fahmi Bin Rosli, Pegawai Pendaftaran & Data serta semua Jawatankuasa Pendaftaran dan Minggu Suai Kenal di kalangan pelajar dan staf yang komited memastikan program dapat dilaksanakan dengan lancar dan jayannya.

Setiap tahun Politeknik Malaysia akan membuat 2 (dua) sesi pengambilan pelajar baharu iaitu Sesi Jun dan Sesi Disember. Bagi Sesi Disember, permohonan akan dibuka kira-kira dalam bulan Ogos dan info berkaitan program, syarat dan lokasi politeknik boleh dilayari di www.politeknik.edu.my

 

* Sila rujuk facebook rasmi Politeknik Kuching Sarawak untuk maklumat lebih lanjut.