KUCHING, 30 JUN 2018 - Aini Fazlini Binti Mohd Dini, pelajar Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pembuatan), Politeknik Kuching Sarawak (PKS) telah menerima anugerah tersebut dalam kategori Diploma Kejuruteraan (IPTA) pada malam tadi di satu majlis anjuran IEM Sarawak bertemakan FIFA World Cup 2018.

Aini Fazlini yang berasal dari Taman Kenanga, Jalan Depo, Petrajaya, Kuching ini dicalonkan oleh Politeknik Kuching Sarawak sebagai pelajar terbaik dengan menerima Anugerah Ketua Jabatan bagi 5 semester berturut-turut dengan menunjukkan prestasi konsisten Kedudukan Baik (KB) Purata Nilai Mata (PNM) melebihi 3.70 ke atas dan mencapai PNM 4.00 pada semester akhir (semester 6). Keseluruhannya, beliau cemerlang dalam prestasi akademik dengan mengumpul Himpunan Purata Nilai Mata (HPNM) 3.92 sepanjang pengajian 3 tahun di PKS dan HPNM tertinggi di kalangan seluruh pelajar bidang kejuruteraan pada semester akhir.

Aini yang telah menamatkan pengajian dan akan bergelar graduan pada Majlis Konvokesyen ke-26, PKS pada 7 – 9 Ogos ini merupakan seorang pelajar yang aktif antaranya sebagai pemain sukan Petanque mewakili PKS dan Politeknik Malaysia pada beberapa pertandingan selain salah seorang peserta yang terpilih menyertai Diversity Voyage bersama-sama pelajar Toyo University, Jepun anjuran Global Incubation x Fostering Talents (GiFT).

Tahniah kepada Aini Fazlini Binti Mohd Dini dan semoga menjadi motivasi kepada para pelajar PKS.

Terima kasih The Institution of Engineers, Malaysia, Sarawak Branch atas penganugerahan ini.

 

* Sila rujuk facebook rasmi Politeknik Kuching Sarawak untuk maklumat lebih lanjut.